Tuesday, January 12, 2010

Magis dan kehebatan AJL24


PERSEMBAHAN pembukaan yang cukup bertenaga oleh Siti Nurhaliza dan Azlan & The Typewriter menerusi lagu Lagu Untukmu.


RASANYA tidak perlu lagi untuk mengulas tentang keputusan lagu Pergi yang dinobatkan sebagai Juara Lagu pada malam Ahad lalu.

Semuanya sudah diputuskan oleh barisan juri yang bijaksana kerana mereka lebih tahu menilai karya manakah yang layak untuk diangkat sebagai yang terbaik.

Setiap individu mempunyai pandangan mereka yang tersendiri dan ada kalanya lagu yang kita jangka akan meraih kemenangan, kecundang untuk membawa pulang sebarang kejayaan.

Sebaliknya, lagu yang tidak dijangka akan menang itu pula yang memenangi gelaran tertinggi acara anugerah muzik ulung terbitan TV3 itu.

Begitu juga dengan lagu Pergi yang rasanya tidaklah terlalu mengejut kerana lagu itu juga memiliki sentuhan yang cukup menarik dari segi lagu dan liriknya.

Baik dari segi keputusannya, persembahan artis mahupun keseluruhan perjalanan acara, semuanya akan tetap diperkatakan.

Itulah penangan AJL yang saban tahun sememangnya cukup dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat yang mahu melihat karya yang terbaik sepanjang tahun diiktiraf.

Berbalik kepada AJL24, tidak keterlaluan dikatakan edisi kali ini merupakan yang terbaik pernah dihasilkan oleh TV3 dalam tempoh sedekad ini.

TV3 berjaya menghasilkan impak yang besar menerusi AJL kali ini dan kecemerlangan itu dapat dilihat dari pelbagai sudut seperti teknik pencahayaan dan pergerakan kamera.

AJL24 ternyata ditangani dengan baik oleh penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali sebagai Gbam yang pertama kali menerbitkan rancangan segah dan sehebat AJL.

Tidak sia-sia TV3 mengeluarkan bajet besar iaitu sebanyak RM2 juta bagi memastikan penerbitan AJL24 berupaya menjadi sebuah acara hiburan terbesar untuk tahun 2010.

Bermula dari persembahan pembukaan oleh Datuk Siti Nurhaliza yang kemudiannya berduet dengan Azlan & The Typewriter menerusi Lagu Untukmu, audiens sudah mendapat mendapat gambaran jelas bahawa AJL24 akan menjadi sebuah tontonan yang spektakular.

Ternyata, jangkaan itu tidak meleset dan perjalanan acara selama hampir tiga jam itu berlangsung dengan penuh meriah dan gilang-gemilang.

Benar kata orang. Jika sebuah acara anugerah itu mempunyai pembukaan yang baik dan bagus, tidak mustahil untuk ia diteruskan dengan lancar dan sempurna.

Itulah yang dapat dilihat menerusi AJL24 yang setiap masa dan ketika membuatkan audiens teruja dan ternanti-nantikan setiap persembahan yang seterusnya.

Pemilihan Siti untuk menyampaikan Lagu Untukmu dalam rentak balada dan etnik telah berjaya memukau hadirin di stadium dan juga di rumah.

Manakan tidak, Siti berjaya membawa lagu itu dengan cemerlang sekali dengan gayanya yang tersendiri tanpa melihatnya rasa kekok melagukan lagu tersebut.

Begitu juga saat dia berpadu suara dengan Lan yang membuatkan penonton mula bersorak sehingga membuatkan stadium menjadi gamat dengan tepukan gemuruh penonton.

Percaturan yang cukup bijak oleh TV3 apabila menggabungkan Siti dan Lan dalam menampilkan variasi serta kelainan kepada penonton.

Selain itu, pujian dan kredit seharusnya diberikan kepada kesemua 13 orang artis yang bertanding kerana rata-rata telah memberikan persembahan yang cukup memuaskan.

Memang terpancar jelas kesungguhan setiap artis menerusi persembahan mereka yang memiliki keunikan dan keistimewaan masing-masing.

Mungkin masing-masing tahu, peluang menyertai AJL bukanlah mudah dan kerana itu, mereka mahu memberikan persembahan yang hebat bagi membuktikan bahawa mereka benar-benar serius dengan kerja mereka.

Artis generasi baru terutamanya berjaya menampilkan variasi persembahan yang boleh dibanggakan dan sekali gus membuka mata masyarakat bahawa artis tempatan juga sebenarnya hebat.

Beberapa nama seperti Aizat, Yuna, Akim dan kumpulan Hujan merupakan antara mereka yang mempamerkan persembahan yang cukup menghiburkan dan mengesankan.

Persembahan mereka bertambah menarik lagi dengan ditambah oleh permainan visual menerusi skrin LCD yang terdapat di belakang dan atas pentas.

Satu yang pasti, persamaan yang ketara dalam persembahan artis kali ini adalah penggunaan koir, kanak-kanak dan remaja dalam jumlah bilangan yang agak besar.

Namun begitu, masih juga ada artis yang memberikan persembahan yang masih lagi ditakuk lama dan mudah dijangka.

Persembahan selingan yang menampilkan Datuk Jeffrydin & Siglap 5, Jay Jay, Search dan Meet Uncle Hussain bagi menggambarkan evolusi muzik tempatan juga tidak kurang hebatnya.

Search, terutamanya telah menggegarkan stadium apabila tampil dengan pakaian tahun 80-an sama seperti zaman kegemilangan mereka dahulu.

Biarpun muncul seketika menyampaikan lagu medley Pawana dan Fantasia Bulan Madu, tetapi Search berjaya meninggalkan impak yang cukup besar.

Bertemu dengan Gbam sewaktu sidang media sejurus selepas AJL24, dia sememangnya berterima kasih dengan TV3 kerana peluang yang diberikan kepadanya.

"Saya tidak mampu menjalankan tugas ini dengan baik jika tanpa bantuan dan sokongan daripada semua pihak yang membantu merealisasikan impian saya sejak sekian lama.

"Biarpun berlaku sedikit gangguan teknikal, tetapi saya menganggap itu sebagai ujian buat saya dan saya sendiri mencipta sejarah kerana belum pernah terjadi sedemikian (ketawa).

"Dengan produksi ini, ia membuktikan bahawa anak tempatan pun mampu menghasilkan sebuah rancangan yang setaraf dengan American Idol," kata penerbit berusia 30 tahun itu penuh optimis.

No comments: